Ada Hantu!

“Pergilah ambil!”

“Kau lah pergi ambil!”

Terdengar teriakan di antara dua orang kanak-kanak di ruang tamu.

“Kenapa ni?”

“Ilham ni tak mahu ambilkan air!” bentak Dini tidak puas hati.

“Sendiri mahu minum, ambillah sendiri!” balas Ilham tidak puas hati.

Kedua-dua wajah yang dikasihi itu direnungi. Perlahan-lahan memposisikan diri sama tinggi dengan mereka berdua.

“Dini, bila kita mahukan sesuatu, kita perlu ambil sendiri. Jangan menyuruh-nyuruh orang lain.” Wajah Dini resah.

“Tapi…Dini takut,” ujarnya berterus-terang.

“Dini takut apa?”

“Takut hantu!” Saat terdengar perkataan ‘hantu’, maksud Dini sudah dapat ditangkap.

“Jadi, Dini nak Ilham ambilkan air sebab Dini rasa ada hantu di dapur?” Dini segera mengangguk.

“Dini, jika mahu Ilham temankan, minta bantuan Ilham baik-baik. Ilham pasti akan bantu Dini.”

Dini merenung Ilham.

“Ilham, teman Dini ke dapur ambil air.” Dini berkata perlahan. Ilham menggeleng.

“Ilham haus?” Ilham terdiam. Dia kemudian mengangguk-angguk. Pastinya pertengkaran kecil tadi mengundang rasa dahaganya.

“Baik. Ilham ambil cawan. Dini pula ambil air di peti sejuk.” Arahan dan tugasan diberi kepada mereka berdua.

“Hantu…” Dini masih ragu-ragu.

“Dini solat tak?”

“Solat!” jawabnya penuh semangat.

“Kalau macam tu, Dini tak perlu takut. Hantu tak kacau orang yang rajin solat.”  Mata Dini bersinar. Dia kemudian menarik tangan Ilham ke dapur bersama-sama.

Kata-kata suntikan ini bagi meyakinkan anak-anak supaya tiada apa perlu ditakutkan selain Allah SWT.

Anak-anak apabila selalu dimomokkan dengan kisah hantu, mampu mempengaruhi keyakinan diri dan cara mereka berfikir. Sebaliknya, tanamkan keberanian di dalam jiwa anak-anak supaya mereka tidak dibayangi oleh ketakutan dan imaginasi mereka sendiri.

Penulis : Nurdiyanah Dzulkarnain

Please follow and like us:

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
Follow by Email
Facebook
Facebook
YouTube
Instagram