Beri Peluang Untuk Anak Membantu

“Ibu tengah buat apa?” tanya Haris yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu bilik.

“Oh, ibu sedang kemas barang-barang ibu, mahu asingkan barang-barang yang mahu dipakai dan mahu dibuang.”

Haris menghampiri dan duduk di sisi sambil memerhati.

“Boleh Haris tolong?” tanyanya lagi. Wajah bujur sirih itu memandang dengan penuh pengharapan.

“Tak apa. Tak banyak pun ni.”

Haris hanya mengangguk dan duduk di situ. Tidak berkata apa-apa.

‘Hm…kasihan pula.’

“Haris boleh susun barang-barang ini di dalam kotak?” Mata Haris bersinar. Dia mengangguk-angguk dan mula menyusun. Hanya sekali-sekala diperhatikan.

Anak-anak…

Mereka mahu diri mereka dipercayai.

Mereka mahu membantu.

Mereka ada rasa simpati kepada ibu bapa.

Mereka mahu dilihat berguna pada orang dewasa.

Mereka mahu mencuba kerja-kerja orang dewasa.

Berikan peluang untuk mereka membantu. Pilih kerja-kerja yang tidak membahayakan mereka, yang sesuai dengan mereka.

Ketika ini, anak-anak menawarkan diri. Tiada paksaan. Maka mereka akan melakukan kerja sehabis baik. Bantu mereka dengan memberi arahan yang betul.

Anak-anak apabila terbiasa membantu, mereka mampu berdikari di kemudian hari dan lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang lain.

Penulis : Nurdiyanah Dzulkarnain

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×