Bina Keyakinan Anak-Anak

Baru-baru ini Haris dapat sebuah permainan daripada makciknya.

Permainan itu bukanlah permainan biasa. Ianya berisi beberapa silinder dan bebola berlubang berlainan warna. Di kotaknya ada pelbagai bentuk boleh dibuat menggunakan silinder dan bebola itu.

Haris membelek-belek dan membukanya. Dahinya berkerut-kerut melihat isi kotak.

“Ibu, macam mana nak main ni?” tanya Haris sambil mengunjukkan kotak.

“Oh, Haris sambungkan batang-batang ini pada bola-bola itu.” Kotak itu diserahkan semula.

“Ibu buatkan.” Haris meminta.

“Aunty belikan untuk Haris. Bukan untuk ibu.” Haris membungkam.

“Nanti ibu lebih pandai daripada Haris.”

“Haris cuba buat dulu. Ibu tunggu Haris siapkan.” Haris kelihatan kurang yakin.

Lama juga dia cuba memujuk untuk membantunya menyiapkan mainan itu namun, permintaan itu ditolak.

Haris perlu belajar supaya tidak terlalu bergantung kepada orang lain untuk menyelesaikan masalah sebelum mencubanya sendiri.

Latihan penyelesaian masalah yang berulang kali dapat memahirkan anak-anak meneliti dan memilih solusi yang terbaik diantara semua. Ini mempertingkatkan daya pemikiran anak-anak.

Hampir 20-30 minit Haris senyap di mejanya. Sesekali dia berpaling untuk mendapatkan kepastian.

“Ibu…” sayup-sayup Haris memanggil.

“Ya?” Haris mengunjukkan sesuatu.

“Wah, Haris dah siapkan! Kan Ibu dah kata, Haris boleh buat.” Haris tersipu-sipu malu.

“Cuba pula buat bentuk lain. Mesti lebih mudah kan?”

Mata Haris bersinar. Senyuman menguntum di bibirnya. Dia mengangguk pantas dan mula fokus pada permainannya.

 

Penulis : Puan Nurdiyanah Dzulkarnain

 

 

 

 

Please follow and like us:

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
Follow by Email
Facebook
Facebook
YouTube
Instagram