Buatkan Isaac Kapal Terbang

“Bonda, buatkan Isaac kapal terbang.”

Rasanya dalam seminggu ini, sudah lebih dari 20 kapal terbang saya buatkan untuk Isaac. Apa-apa kertas kosong yang dijumpai akan dikoyak selurus mungkin dan dicuba lipat agar menjadi kapal terbang.

Apabila gagal, beliau mencari saya untuk membantu. Selalunya, lipatan beliau memang salah pun.

Setiap satu kapal terbang yang siap akan cuba dilepaskan dari tempat tinggi untuk melihat tahap ketahanannya untuk terbang jauh. Ada yang mampu terbang tinggi, ada yang tidak.

Ia permainan murah, malah percuma. Namun, tidak pernah membosankan Isaac. Saya kira, ia tidak pernah membosankan berpuluh generasi sebelum ini juga. Saya masih ingat, bermain kapal terbang kertas ini ketika zaman kecil saya. Nenek tidak jemu mengajar saya membuat kapal terbang kertas. Seperti ada satu kepuasan dan keriangan abadi apabila dapat melihat kapal terbang buatan kertas itu mampu terbang membelah angin di perkarangan rumah suatu masa dahulu.

Selain kapal terbang, nenek juga pandai membuat katak, burung, kapal layar dan beberapa jenis origami lain. Mainan orang lama, kreatif lagi inovatif. Sekarang ini lebih mudah, google sahaja origami, pelbagai reka bentuk akan keluar untuk kita pelajari.

Apa yang boleh kita pelajari dari origami ini? Untuk Isaac, sudah pasti titik perkenalan kepada dunia aerodinamik. Selain itu, ia seni tangan dan kreativiti yang melibatkan keseluruhan motor kasar dan halus si pembuat tadi. Mereka juga belajar mengenal bentuk melalui lipatan-lipatan ini. Ada segi tiga, segi empat dan bentuk-bentuk lain. Ia permainan untuk mereka yang cermat. Ia permainan yang menjalinkan hubungan baik ibu dan anak, atuk dan cucu. Ia permainan cita-cita.

Kadangkala, kita tidak menyangka sehelai kertas mampu mengajar kita ilmu kehidupan. Lihat dengan mata hati, setiap kejadian itu diciptakan untuk manusia teladani. Untuk kita mensyukuri nikmat yang Allah sentiasa beri.

Penulis : Puan Sabrina Ismail

Please follow and like us:
Artikel Seterusnya →

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×