Komentar Tanpa Dipinta

“Eee…nampak ketiak!”

“Eee…nampak kaki!”

Dira bising dan memberi komen pada setiap wanita yang dilihatnya. Wajahnya kelihatan tidak senang sekali melihat pakaian mereka.

Otak ligat berpusing, bagaimanakah mahu mengalihkan perhatian Dira daripada terus memberi komentar tanpa dipinta. Mujur mereka itu jauh. Jika Dira menegur secara berdepan, pasti situasi kurang enak akan berlaku.

Dalam keadaan begini, amat penting untuk memberhentikan perilaku ini di khalayak ramai bagi mengelak pihak lain tersinggung dengan kata-kata anak kecil ini.

Tiba-tiba pandangan tertancap di dinding kaca kedai pakaian bersebelahan kami. Idea pun muncul.

“Dira, tengok patung-patung di kedai ni.” Dira berpaling.

“Yang mana satu sepatutnya kita pakai?” Dira melihat satu-persatu patung yang memperagakan pakaian terkini itu.

“Ini…dan ini,” ujarnya yakin sambil menunjuk 2 patung yang dirasakan betul. Ternyata jawapan yang diberi hanya menerima gelengan.

“Pakaian yang baik ialah yang menutup badan dan longgar. Mana satu pakaian yang ibu maksudkan?”

Dira memandang semula patung-patung itu. Ada patung yang memakai gaun panjang dan satu lagi baju lengan panjang dan seluar longgar.

“Ini dan ini!” Laju Dira menunjuk ke arah dua patung itu. Senyuman meniti di bibir tatkala menerima jawapan baru daripada Dira.

Dira kemudian melihat ke arah baju yang dipakainya.

“Tapi baju Dira macam yang itu,” katanya sambil menunjuk ke arah patung yang salah ditunjukinya awal tadi. Baju berlengan pendek dan seluar jeans yang dipilih sendiri ketika berada di rumah. Dia berasa sedih.

“Oleh sebab itu, kita tak boleh kata yang tidak baik kepada orang lain. Boleh jadi, apa yang kita buat juga salah di mata orang lain.” Dira mengangguk cuba memahami.

“Tapi kan ibu…pakaian ibu adalah yang terbaik!” Kata Dira sambil memeluk erat tubuh di hadapannya.

Amboi, pandai ambil hati ibu ya!

 

Penulis : Puan Nurdiyanah Dzulkarnain

Please follow and like us:

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
Follow by Email
Facebook
Facebook
YouTube
Instagram