Memulakan Bisnes : MOU Suami, Isteri, Anak-anak dan Keluarga

Kali ini, saya ingin berkongsi tentang apa yang telah saya lalui sebelum saya membuat keputusan besar dalam hidup saya.
Asasnya, saya telah membuat keputusan untuk memiliki sebuah sekolah. Tanpa sedar saya sebenarnya telah membuat keputusan untuk menjadi orang berniaga. Berniaga, bermaksud anda orang yang terakhir untuk menerima gaji. Itupun jika wang mencukupi. Berniaga, bermaksud anda adalah orang yang perlu bertanggungjawab 24 jam sehari dan 365 hari setahun.
Berniaga, bermaksud anda akan dibenci dan disukai. 
Berniaga, bermaksud anda mengambil tanggungjawab tambahan yang amat besar. 
Berniaga, bermaksud anda menyahut cabaran negara!

Wah, saya tidak pernah terfikir begitu apabila saya membuat keputusan pada April 2007! Tidak pernah terlintas juga dalam fikiran saya, bahawa ia adalah permulaan kepada satu perjalanan hidup yang penuh dengan dugaan. Dugaan yang menjadikan saya lebih banyak berfikir.

Pada masa itu, saya mengambil sedikit masa. Duduk, berbincang dan berhujah untuk memastikan perancangan peribadi, keluarga dan bisnes selari. Saya tidak mahu masalah yang bersifat sementara dan teknikal menjadi faktor kegagalan kepada apa yang sudah dirancang.

Banyak perkara dan soalan yang kami bincangkan bersama (saya dan suami). Antara lain yang dibincangkan adalah tentang kedudukan kewangan keluarga, perancangan tempat kediaman, pendidikan anak-anak dan pengurusan kewangan perniagaan.

Sebenarnya, saya hanya dibenarkan oleh suami saya untuk menceburkan diri sebagai pengusaha sekolah hanya dengan satu syarat. “Saya hanya dibenarkan berhenti kerja dan berniaga sendiri selepas 5 tahun bekerja.”

Pada mulanya, saya agak hairan dengan syarat suami saya. Namun, saya akur sahaja. Sekarang, saya amat berterima kasih dengan nasihatnya itu. Berdasarkan kepada latarbelakang dan cara saya dibesarkan, saya kira saya amat perlu banyak pededahan tentang banyak perkara.

Antara lain termasuklah kemahiran mengurus, kepimpinan, kebolehan berkomunikasi di pelbagai peringkat serta asas pengurusan kewangan. Pada masa yang sama, saya juga faham bahawa kedudukan kewangan keluarga dan rekod kewangan peribadi amat penting untuk memulakan perniagaan.

Pada ketika itu kami berdua bersetuju tentang perkara asas dan amat penting dalam keluarga saya.
  1. Perbelanjaan keluarga yang akan lebih terkawal dan sederhana.
  2. Pembahagian masa harian, mingguan dan bulanan untuk ahli keluarga termasuklah anak-anak, keluarga masing-masing dan keluarga mertua.
  3. Pengurusan pendidikan anak memerlukan kerjasama antara ibu dan ayah.
  4. Pembahagian hak dan tanggungjawab pengurusan bisnes antara saya dan suami. (Ini amat perlu kerana saya mengambil suami saya sebagai penama kedua sebagai pengarah dan pemegang saham dalam syarikat.)

Selepas itu, saya juga mengadakan pertemuan bersama anak-anak yang sudah agak dewasa. Kami terangkan kepada semua tentang keadaan yang bakal dihadapi. Bukan sahaja kepada anak-anak kami terangkan, malah kepada ahli keluarga yang lain. Saya dan suami mengambil peluang untuk balik kampung. Pada waktu itu kami terangkan tentang perancangan kami sekeluarga.

Pelbagai reaksi yang kami terima. Apa yang pasti, saya sudah pasti dengan keputusan yang diambil. Meskipun begitu, hasilnya mereka semua faham  apabila kami tidak balik ke kampung sekerap dahulu.

Penulis : Noraminah Omar

Sumber : http://www.noraminahomar.com/

Please follow and like us:

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×