Perbezaan Antara Taska – Tadika – PASTI – KEMAS – Pusat Perkembangan

Kanak-kanak merupakan aset penting sesebuah negara. Oleh yang demikian, pendidikan kanak-kanak menjadi sangat penting dan perlu diberikan perhatian.

Pendidikan prasekolah dalam bentuk tadika sudah mula dikenali sejak tahun 1950. Pada peringkat awal, pendidikan ini disediakan untuk kanak-kanak daripada golongan pertengahan dan atasan.

Bermula pada tahun 1960, beberapa agensi seperti FELDA dan KEMAS mula menubuhkan pusat-pusat pendidikan kanak-kanak.

Terdapat banyak pusat pendidikan bagi kanak-kanak termasuk Prasekolah, Tadika, Tabika,  Pasti dan Pusat Perkembangan.

Mari kita lihat perbezaan pusat-pusat ini…

Kementerian Pelajaran Malaysia mula melaksanakan program pendidikan prasekolah annex pada tahun 1992.

Prasekolah merupakan program pendidikan kanak-kanak yang dilaksanakan di sekolah rendah awam. Kebanyakan sekolah membuka pendaftaran untuk kanak-kanak prasekolah berumur 6 tahun. Namun terdapat juga sekolah-sekolah di kawasan berkepadatan tinggi membuka peluang kepada kanak-kanak dari umur 5 tahun.

Program pendidikan awal kanak-kanak di prasekolah mengikut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Kurikulum ini digubal berdasarkan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai mendukung matlamat dan wawasan negara.

Perancangan dan penggubalan kurikulum ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dan falsafah serta teori pendidikan awal kanak-kanak, psikologi, dan perkembangan kanak-kanak serta trend pembelajaran terkini.

Tadika ABS menggunakan modul BBMT, Kelab Araf dan Little Ibnu Sina

Tadika merupakan singkatan kepada TAman DIdikan KAnak-kanak. Terdapat tadika yang dimiliki oleh kerajaan dan ada juga tadika yang ditubuhkan oleh pihak swasta.

Tadika boleh ditakrifkan sebagai mana-mana premis yang menerima masuk lebih dari 4 orang kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun untuk tujuan menerima pendidikan dengan upah.

Pendidikan di peringkat tadika merupakan persediaan untuk kanak-kanak sebelum melangkah ke pembelajaran formal di sekolah rendah.

Kerajaan amat menggalakkan penubuhan tadika oleh pihak swasta. Namun ianya perlulah didaftarkan di bawah Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pendidikan Negeri. Tadika swasta yang berdaftar perlu mengikut Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ada tadika swasta yang bernaung di bawah jenama tertentu dan ada juga yang beroperasi secara individu. Antara jenama tadika yang dikenali ialah seperti Tadika KRISTA, Tadika Little Chaliph, Tadika ABS Aktif Bijak Santun dan Tadika Maria.

Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memberi penekanan kepada usaha-usaha pembangunan masyarakat.

Tabika pula adalah singkatan kepada Taman Bimbingan Kanak-kanak.

Tabika merupakan program pendidikan awal kanak-kanak yang diselia oleh KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Walaupun begitu kurikulum yang digunapakai oleh Tabika adalah Kurikulum Bersepadu Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Program Tabika ditawarkan untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun.

PASTI – pembelajaran akademik dan rohaniah

PASTI adalah singkatan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam. PASTI  juga merupakan salah satu insitusi yang menawarkan program pendidikan untuk kanak-kanak.

Program PASTI memberi penekanan kepada pendidikan Islami. Visi PASTI cukup jelas menyatakan hal ini iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh.

Q-dees menggunakan modul yang direka sendiri dengan kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia

Pusat Perkembangan Minda merupakan institusi yang ada juga menawarkan pendidikan untuk kanak-kanak.

Pusat perkembangan minda mempunyai modul atau method pembelajaran tersendiri yang digunakan di pusat mereka. Modul atau method ini perlulah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Modul atau method yang digunakan bukan hanya untuk kanak-kanak namun sesuai sehingga tahap umur remaja. Antara Pusat Perkembangan Minda yang ada ialah seperti KUMON, Kinderkaizen dan Q-dees .

 

 

 

 

Please follow and like us:
← Artikel Sebelum Ini
Artikel Seterusnya →

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×