Dari Meja CEO

“2019 dilalui penuh kesabaran, 2020 disambut penuh keazaman.

Assalamualaikum & salam kasih sayang kepada rakan seperjuangan, tuan-tuan & puan-puan guru serta warga kerja di dalam keluarga besar ABS.

Tahun 2020 adalah tahun ke 7, Kumpulan Pendidikan ABS wujud atas perjuangan memandaikan bangsa & memerangi stigma salah & diskriminasi dalam bisnes & pendidikan dari peringkat awal sehingga lanjutan.

Permulaan dekad 20an ini dinanti-nantikan oleh kita dengan harapan ianya menjadi satu lonjakan kepada lebih banyak kejayaan atas perkara yang kita usahakan. Kita mahu terus memperbaiki perkhidmatan kita, pengurusan bisnes kita, kepimpinan & kemahiran kita di dalam memastikan visi Insan Yang Ihsan akan tercapai. Sesungguhnya kita akan memastikan tahun ini akan lebih baik & ada peningkatan.

Fokus kepada budaya kerja yang lebih seiring dengan semangat sepasukan. Kita perlu saling mendorong supaya tadika atau sekolah atau pejabat pengurusan kita menjadi pilihan utama pelanggan.

Pelanggan terutamanya kanak-kanak, remaja, ibubapa & rakan-rakan bisnes lain harus kita hormati, pimpin & tunjukkan jalan supaya Teknik Nabi & Sopan Santun ini menjadi budaya dalam kehidupan.

Bagi memastikan Insan Yang Ihsan dapat dilahirkan di institusi kita, kita semua (samada di peringkat pengurusan Kumpulan Pendidikan ABS, rakan-rakan niaga, tuan-tuan & puan-puan guru serta warga kerja yang mendokong nama ABS) haruslah memiliki nilai berikut:

Pertamanya, bijak bersosial. Kita harus belajar & berlatih supaya kita saling bekerjasama, menggunakan kelebihan yang kita semua ada supaya kekurangan kita dapat ditutup. Inilah kelebihannya apabila bekerja di dalam satu kumpulan. Setiap pihak ada peranan berbeza dengan kekuatan berbeza.

Kedua, tidak berkompromi dengan INTEGRITI. Ada kalanya integriti seperti semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada malam yang pekat. Sikap & pertimbangan kita perlu sama dengan siapa pun kita berurusan. Ketelusan kita perlu berada pada tahap yang paling tinggi.

Ketiga, bersikap altruistik. Menjadi manusia yang altruism perlu bermula dengan MENGAPA. Mengapa kita perlu utamakan keperluan kumpulan berbanding diri kita? Setiap orang yang mempunyai nilai ini, pastinya akan diikuti oleh ‘anak-anak’ kita & pastinya akan ‘dilihat’ oleh pelanggan kita.

Keempat, sentiasa memikirkan cara baru yang lebih menjimatkan di dalam melakukan sesuatu. Bukan sekadar mengikut arahan atau SOP kerja yang tidak pernah ditambah baik. Kreativiti & inovasi akan membawa institusi, syarikat & organisasi kita ke tahap yang lebih tinggi. Dan kreativiti bergantung kepada daya usaha orang-orang yang berada dalam organisasi ini.

Kelima, berdiplomasi. Mantapkan seni komunikasi kita. Kita perlu saling meneguhkan antara satu sama lain. Yang salah, wajar diperbaiki. Yang jelik, wajar ditutupi. Yang bagus, wajar dipuji. Pujian menaikkan semangat kerja, walaupun lubang hidungnya kita tak suka.

Keenam dan peringkat nilaian paling akhir perjuangkan kebenaran. Pentingnya kita pertimbangkan setiap maklumat yang kita dapat. Adili mana benar, mana tidak betul. Cari sumber asal. Dalam dunia yang sudah muntah dengan pelbagai maklumat, perlu pertimbangkan maklumat mana yang kita perlu. Selepas pasti ia benar, barulah diperjuangkan kebenaran itu tanpa menjejaskan hubungan baik.

Inilah nilai yang akan menjadikan kita terlebih dahulu insan yang ihsan. Sebelum melahirkan insan lain yang ihsan.

Mari kita terus berusaha. Teguh lah bersama-sama. Tekadkan langkah kita.

Saya yakin suatu hari nanti kejayaan yang lebih besar akan kita kecapi bersama. Masyarakat di sekeliling juga pasti akan terkena limpahan manfaat daripada kejayaan itu nanti, boleh merasai jika kita menjiwainya.

Didoakan usaha kita ini di dalam melahirkan Insan yang Ihsan ini akan dipermudahkan & diberkati.

Amin, amin ya rabbal alamin…

Selamat mengharungi tahun 2020 dengan terus menyebarkan kebaikan. Allah bersama kita.”

 

Suhaili Ikhsan,

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pendidikan ABS.

 

22.57pm

31 Disember 2019

Di atas MRT menuju ke teratak ku.

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×