10 Panduan untuk Supermom di hari PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa yang seterusnya. Mungkin ada di kalangan ibu yang sudah perlu memulakan tugas di tempat kerja, dan mungkin juga masih  perlu melaksanakan kerja dari rumah. Sehingga ke tahap ini adakah ibu-ibu masih dapat memastikan anak-anak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru?

Mungkin para ibu sudah mula biasa dengan rutin baru ini. Melaksanakan tugas kerja, tugasan harian dan menguruskan aktiviti anak-anak ia bukan lah sesuatu yang mudah. Namun begitu situasi ini perlu dilihat sebagai satu peluang yang positif.

Guru-guru yang memberikan tugasan kepada anak-anak setidak-tidaknya membantu kita untuk memantau pembelajaran anak-anak dengan objektif pembelajaran yang betul. Kita tahu bahawa anak-anak yang berjaya memerlukan kerjasama antara guru dan ibubapa yang memantau dan membimbing di rumah. Ini juga salah satu norma baru yang seharusnya diteruskan selepas PKP tamat kelak.

Tarik nafas, bayangkan apa yang telah kita lalui dan bayangkan kita mampu mengurusnya pada hari mendatang.

1. Kita tidak lagi kelam kabut di pagi hari dan waktu petang

2. Tidak perlu menempuhi kesesakan lalulintas

3. Dapat menyediakan makanan buat keluarga

4. Ikatan kekeluargaan bertambah baik

5. Dapat memantau perkembangan anak-anak dengan lebih baik

6. Terhindar dari wabak yang sedang melanda sekarang.

Sempena sambutan Hari Ibu ini kami ingin berkongsi 10 Panduan untuk Supermom di hari PKP untuk membantu para ibu sekelian semua menguruskan rumah, kerja dan anak-anak dengan tenang.

#1.TETAPKAN RUTIN

Tetapkan rutin harian yang sesuai atau tulis satu jadual dan ditampal di tempat yang mudah dilihat juga oleh pasangan. Ini dapat membantu pasangan faham dengan kerja dan tugasan harian kita.

Bahagikan masa untuk menguruskan kerja, menguruskan diri dan anak-anak. Contohnya masa makan, masa membuat aktiviti. Aktiviti mengemas rumah boleh dibuat pada sebelah petang atau sebelum tidur.

Anak-anak yang lebih besar akan lebih cepat faham dan membantu menguruskan adik. Sekiranya ada anak yang masih kecil juga boleh tetapkan rutin masa makan, masa menyusu, masa tidur bagi memudahkan urusan. Ada masa kita akan lari daripada rutin yang telah ditetapkan namun dengan rutin ia boleh dijadikan panduan untuk tugasan seterusnya.

#2.FLEKSIBEL

Fleksibel dengan urusan harian adalah  amat penting untuk mengurangkan tekanan emosi diri.

Sekiranya terdapat gangguan lain misalnya pada hari tersebut perlu mesyuarat secara online mungkin waktu itu anak kecil mula meragam. Uruskan Si Kecil sekejap untuk elakkan gangguan. Minta bantuan suami atau anak yang lebih tua untuk bermain dengan Si Kecil.

Sekiranya tidak sempat monitor Google Classroom anak juga tidak mengapa. Tangguhkan ke masa yang lain namun pastikan anak melaksanakan tugasan yang diberikan guru. Berhubung dan dapatkan bantuan guru untuk subjek yang sukar.

Jika tidak dapat mengemas pada waktu pagi sebelum mula bekerja pada hari tersebut, tugasan tersebut boleh dilaksanakan pada masa lain dengan bantuan anak-anak.

Fleksibel mengelakkan kita rasa kecewa dengan kemampuan diri apabia sasaran harian tidak tercapai.

#3.KAWAL APA YANG BOLEH

Tidak semua benda boleh dikawal. Mungkin hari itu anak-anak memerlukan perhatian lebih dari biasa. Tarik nafas cari solusi bagaimana mahu mengawal situasi itu.

Adakah anak-anak lapar perlu diberikan makanan dahulu atau Si Kecil mahu tidur dahulu.

Kawal emosi anak-anak. Mereka tidak faham kita sedang bekerja, mereka hanya tahu kita berada di rumah bersama mereka. Mereka perlukan perhatian.

Tidak mengapa rumah agak bersepah sepanjang hari. Waktu PKP ini tiada siapa yang akan datang ke rumah kita. Biarkan akan-anak membuat aktiviti mereka. Bermain juga salah satu pembelajaran.

Fokus apa yang boleh kita kawal, cari solusi dan laksanakan.

#4.SEDIAKAN RUANG YANG SESUAI

Ruang kerja yang sesuai juga diperlukan. Ada yang memilih ruang yang sama bagi memudahkan mengurus anak-anak. Sewaktu mesyuarat atas talian sediakan satu ruang lain yang lebih selesa tanpa gangguan.

Sediakan ruang untuk anak-anak bermain dan melaksanakan aktiviti mereka. Pilih cerita menarik untuk mereka tonton juga akan membantu memberi ruang masa untuk kita menyelesaikan tugasan atau sibukkan mereka dengan tugasan aktiviti yang tidak terlalu bersifat akademik.

#5.SEDIAKAN ALATAN YANG CUKUP

Bagi mengurangkan tekanan pastikan alatan keperluan kerja juga mencukupi. Ada sesetengah individu, penggunaanl aptop dan telefon bimbit sudah memadai.

Mungkin ada yang memerlukan
pencetak dan kertas untuk lebih efektif.

Anak-anak juga adakalanya memerlukan pencetak untuk melaksanakan tugasan. Jika tiada, cari alternatif lain.

Keperluan lain seperti kertas, alat tulis mahupun buku aktiviti boleh disediakan kepada anak-anak. Sekiranya anak suka mewarna sediakan buku mewarna untuk mereka. Anak yang lebih besar boleh diberikan kertas lukisan dan berikan mereka melukis poster ataupun tulis sahaja karangan pendek.

#6.SEDIAKAN KUDAPAN SNEK MUDAH

Bagi mengatasi kekalutan anak yang  mungkin lapar pastikan ada bekalan snek mudah yang boleh disediakan.

Ada ibubapa yang kreatif menyediakan satu pantri khas yang diletakkan nama anak sepanjang PKP. Setiap anak hanya boleh ambil makanan tersebut pada hari itu tanpa bantuan.

#7.AJAR ANAK UNTUK MELAKSANAKAN TUGAS YANG MUDAH

Bagi anak-anak yang mungkin sekolah rendah minta bantuan mereka untuk rutin mudah seperti :

  • Basuh beras
  • Kupas bawang
  • Kemas mainan
  • Mencuci pinggan
  • Menjemur kain
  • Melipat kain
  • Vakum dan menyapu sampah
  • Menjaga adik

#8.GANJARAN BUAT DIRI

Jangan lupa ganjaran untuk diri sendiri! Maklumkan kepada pasangan untuk berehat sebentar pada masa tertentu, minta bantuan pasangan ambil alih urusan jaga anak. Ibu-ibu juga boleh membuat menu-menu mudah. Masa ini mahu masak kuih muih, Dalgona Coffee, atau apa sahaja menu yang disukai, ambil gambar dan muat naik di media social merupakan salah satu cara terapi diri.

Pastikan anak-anak juga diberi ganjaran. Hargai mereka yang telah membantu urusan kita walaupun kecil. Anak-anak akan rasa dihargai dan gembira menghururkan bantuan masa akan datang. Nyatakan apa kebaikan yang telah mereka buat yang kita sukai.

#9.BERBINCANG DENGAN MAJIKAN ATAU RAKAN SEKERJA

Berbincang dengan majikan jika ada kesukaran atau tugasan tidak dapat dilaksanakan pada waktu tertentu. Minta berikan masa untuk kita atasi situasi tersebut. Sekiranya memerlukan waktu malam untuk selesaikan tugas, perlulah ia dilaksanakan.

Majikan yang juga melaksanakan kerja dari rumah pasti juga memahami dan mengalami situasi yang sama di rumah mereka. Maklumkan dan berbincanglah.

Luahkan dan bercerita juga dengan rakan sekerja seperti kebiasaan kita ditempat kerja dapat meredakan emosi harian.

#10.MINTA BANTUAN

Jangan lupa minta bantuan!

Minta bantuan suami untuk beberapa urusan di rumah. Sekiranya suami juga perlu membuat tugasan kerja di rumah, cuba membuat giliran agar masing-masing dapat memberi tumpuan untuk kerja bagi tempoh masa tertentu.

Sekiranya suami bekerja di luar sepanjang tempoh PKP, ingat Point 2 dan 3. Fleksibel, kawal apa yang kita boleh kawal.

Minta bantuan anak-anak untuk perkara-perkara mudah.

Diharap 10 Panduan ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu-ibu hebat semua. Kita lah “Captain Marvel” yang hebat dan Selamat Hari Ibu diucapkan!

Oleh: Hazarini Daud

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini