10 RANCANGAN AKTIVITI RAMADAN MUSIM COVID YANG BUAT ANAK SEMANGAT DAN TERUS CERIA BERPUASA!

Kredit foto : Pexels.com

Bulan Ramadan bulan mulia. Kehadirannya dinanti dengan penuh kesyukuran.

Buat anak-anak, walaupun mereka teruja untuk berpuasa, namun pasti banyak kerenah mereka sepanjang menjalani ibadah tersebut. Maklumlah masih dalam fasa latihan untuk membiasakan diri.

Maka ibu bapa pasti semakin sibuk untuk memberi fokus kepada
ibadah puasa dalam masa yang sama, perlu melayan kerenah anak-anak.

Usah terlalu bimbang, banyak idea aktiviti yang boleh dilakukan untuk memastikan anak-anak dapat terus berpuasa dengan gembira dan ceria.

10 RANCANGAN AKTIVITI RAMADAN MUSIM COVID YANG BUAT ANAK SEMANGAT DAN TERUS CERIA BERPUASA!

#1.SOLAT BERJEMAAH

Bulan Ramadan kali ini pastinya berbeza. Berpuasa dalam
musim wabak, dan diperintahkan untuk kekal duduk di rumah.

Ambil kesempatan ini untuk mendidik anak cintakan solat
melalui solat berjemaah. Susunkan jadual tugasan seperti menyediakan ruang
solat, membentang sejadah, azan dan iqamah.

Anak lelaki yang sudah aqil baligh sudah boleh diberikan tugasan sebagai imam, berganti-ganti dengan bapanya. Manakala yang lebih kecil boleh membaca doa. Tugasan seperti ini dapat meningkatkan keyakinan diri dan melatih sifat kepimpinan di kalangan mereka.

#2.MEMBACA DAN TADABBUR AL QURAN BERSAMA KELUARGA.

Berpuasa semasa musim wabak ini, banyak juga hikmahnya. Lebih-lebih lagi kita digalakkan duduk di rumah. Inilah waktu yang sesuai untuk ibu bapa membuat halaqah bersama anak-anak untuk mengaji dan bertadabbur Al Quran bersama-sama.

Tidak kira umur, sama ada anak kecil atau besar, kita
mulakan dengan surah-surah yang ringkas dan pendek. Tak perlu ambil masa yang
lama. Luangkan antara 5 hingga 10 minit selepas solat pun sudah mencukupi.

Lebih bermakna lagi jika ibu bapa berkongsi ibrah dan pengajaran dari surah-surah yang dibaca.

Kredit foto : pexels.com

#3.SOLAT SUNAT TARAWIH BERSAMA KELUARGA

Solat tarawih kali ini juga akan berbeza berbanding
tahun-tahun sudah. Kita mungkin masih diminta untuk kekal duduk di rumah.

Bermakna solat sunat tarawih tidak dapat dilaksanakan di
masjid sebagaimana biasa. Jadikan ini peluang untuk mengeratkan hubungan
kekeluargaan dan melatih anak cintakan solat dengan menunaikan solat sunat
tarawih bersama-sama di rumah.

#4.BERSEDEKAH

Sambil-sambil menunggu waktu berbuka, terangkan kepada
anak-anak tentang sedekah.

Semasa musim wabak, mungkin kita tidak dibenarkan untuk
keluar rumah atau berjumpa orang.

Terangkan tentang beberapa bentuk lain untuk bersedekah
selain duit.

Sudah tentu anak-anak juga teruja tentang ini.

Sementara itu galakkan anak menyimpan duit supaya dapat
digunakan untuk bersedekah kelak.

#5.MENYEDIAKAN JUADAH BERBUKA DAN SAHUR

Waktu berbuka merupakan waktu
yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Menjadi kebiasaan mereka bertanya berulang
kali, “Adakah sudah sampai waktu berbuka?…” kasihan, keletihan mereka
berpuasa.

Jadikan masa petang lebih seronok
dengan aktiviti menyediakan juadah berbuka. Para ibu boleh menggunakan resepi
mudah yang boleh dicuba oleh anak-anak. Pasti mereka sangat teruja hingga tidak
sedar masa berlalu!

Sewaktu malam sebelum tidur,
ceritakan pula rancangan sahur kepada mereka. Anak-anak yang mendengar tentang
masakan kegemaran mereka yang akan dihidangkan semasa sahur esok, pasti lebih
bersemangat untuk bangun sahur.

#6.MENGEMAS DAN MENGHIAS RUMAH

Anak-anak biasanya mengalami
keletihan semasa berpuasa. Ini menyebabkan mereka kurang berminat membuat kerja
rumah.

Susunkan jadual tugasan mengemas
rumah sepanjang Ramadan. Galakkan mereka melaksanakan tugasan ini di waktu pagi
semasa masih bertenaga. Berikan ganjaran untuk setiap usaha mereka.

Ibu bapa juga boleh memberikan tugasan menghias rumah mengikut sudut-sudut tertentu. Kongsi hasil kerja mereka dengan keluarga mahupun rakan-rakan mereka. Pasti mereka lebih bersemangat dan bangga.

Kredit foto : Puan Hazarini Daud

#7.MEMBACA BUKU

Aktiviti membaca buku sudah tentu amat menyeronokkan.

Gunakan kesempatan musim duduk dirumah untuk galakkan
anak-anak membaca bahan bacaan yang ada di rumah.

Selain itu, Perputakaan Negara Malaysia ada menawarkan
perkhidmatan perpustakaan digital u-Pustaka di pautan www.u-pustaka.gov.my yang menyediakan
13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma.

Sudah tentu mereka teruja dengan pelbagai bahan bacaan yang
boleh dibaca secara atas talian.

#8.MEMBUAT KUIH RAYA

Saat berada di dapur berupakan saat yang sentiasa
menyeronokkan.

Lebih-lebih lagi untuk menghidupkan salah satu tradisi
popular Ramadan iaitu membuat kuih raya.

Libatkan semua ahli keluarga tidak kira kecil besar. Aturkan
tugasan dan beri peluang mereka mencuba untuk buat sendiri adunan, membentuk
dan menghias kuih raya.

Sudah pasti mereka akan berasa bangga dengan hasil kerja
mereka sendiri.

Ibu bapa juga tak perlu memandang kesempurnaan, yang penting hasilnya sedap!

Kredit foto : Pexels.com

 

#9.MENONTON RANCANGAN PENDIDIKAN DAN ILMIAH

Dalam bulan Ramadan banyak stesen televisyen yang memaparkan
rancangan pendidikan dan ilmiah yang berkualiti seperti Jejak Rasul, Tanyalah
Ustaz  dan lain-lain.

Luangkan masa bersama menonton rancangan sebegini. Untuk
lebih menarik ibu bapa boleh menyediakan soalan kuiz untuk dijawab oleh
kanak-kanak.

Pasti mereka lebih bersemangat memberi sepenuh perhatian
semasa menonton.

Ibu bapa pula boleh menyediakan ganjaran atau hadiah kepada
mereka.

Aktiviti begini bukan sekadar menghiburkan malah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

#10.SEDIAKAN PELBAGAI AKTIVITI, PERALATAN KRAF DAN PROJEK RAMADAN

Semasa menjalani ibadah puasa, anak-anak kurang bermain
secara fizikal mahupun dengan alat permainan.

Namun begitu tak semestinya mereka akan tidur atau menonton
sahaja.

Sediakan peralatan kraf dan alat tulis agar mereka dapat menghasilkan
projek kraf mereka sendiri.

Terdapat kit aktiviti Ramadan seperti e-book Jurnal Ramadan yang mengandungi pelbagai aktiviti dan projek untuk dibuat oleh anak-anak secara harian.

Jurnal ini boleh dibeli melalui link berikut : https://www.edumall.com.my/Ebook-Jurnal-Ramadan-2020?tracking=5e9525289e9ff

Belilah sekarang agar anak-anak dapat manfaatnya untuk Ramadan kali ini.

AMANAH MENDIDIK ANAK

Walaupun ibu bapa sibuk dengan perancangan ibadah Ramadan,
namun amanah mendidik anak tidak akan dikesampingkan. Ia juga berupakan satu
ibadah.

Rancanglah aktiviti Ramadan dengan baik agar kita sekeluarga
mendapat  manfaatnya.

Berikan mereka layanan dan sentiasa bersabar dengan karenah
mereka. Sesungguhnya amat besar pahala bagi ibu bapa yang berbuat demikian!

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini