11 Tips Kekal Produktif Bekerja Dari Rumah

Gambar hiasan
Ruang kerja khas di rumah

Wabak Covid-19 yang melanda dunia sekarang ini telah memberi kesan besar terhadap kehidupan setiap individu.

Berikutan penularan wabak ini, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020. Arahan ini turut membabitkan penutupan semua premis agensi kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan sektor perkhidmatan penting sahaja yang dibenarkan beroperasi.

Keadaan ini menyebabkan kebanyakan organisasi mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah.

Bekerja dari rumah sudah tentu ada kelebihnnya. Antaranya ialah tiada lagi kesesakan lalu lintas, tidak perlu berebut untuk menaiki kenderaan awam dan juga masa yang fleksibel.

Namun begitu masih ada cabaran yang perlu dihadapi seperti limitasi ruang kerja, ketiadaan sumber fizikal, tidak berada bersama dengan organisasi kerja, sumber inspirasi terhad dan mudah rasa terasing.

Sudah tentu cabaran yang lebih besar ialah bagaimana untuk mengekalkan produktiviti kerja di luar suasana pejabat. Justeru kami kongsikan 11 tips untuk kekal produktif walaupun bekerja dari rumah.

#1.Hadkan ruang kerja di ruang tertentu dalam rumah

Pilih satu ruang yang boleh dikhaskan sebagai stesen tempat kerja. Pastikan ruang berkenaan tidak mengganggu ahli keluarga lain jika tinggal bersama keluarga atau tidak mengganggu rakan serumah jika tinggal bersama rakan-rakan.

Gunakan stesen kerja sepenuhnya. Elakkan menyemak emel atau menghantar mesej di hadapan televisyen sambil menonton atau menggunakan meja makan sehingga meja penuh dengan peralatan kerja dan dokumen-dokumen.

Sebaiknya ruang yang dipilih itu jauh dari gangguan bunyi bising yang berlebihan. Suasana kerja yang aman dan tenteram boleh membantu dalam menumpukan perhatian seterusnya meningkatkan produktiviti kerja.

#2.Tetapkan rutin

Rutin sangat penting. Tetapkan rutin kerja di rumah dan amalkan. Ini penting dalam mendidik minda agar tidak terganggu atau teringat urusan peribadi lain seperti hal membasuh pakaian, memasak atau mengemas.

Atur masa dengan bijak agar tumpuan tidak terganggu.

#3.Wujudkan sempadan ruang yang ketat

Apabila sudah ada stesen kerja, cuba untuk gunakan ruang itu hanya pada waktu bekerja sahaja. Sebaiknya kekalkan waktu mula dan habis kerja sebagaimana waktu pejabat, agar tidak terbeban dengan kerja.

Disiplin dalam menjaga waktu amat perlu apabila bekerja di rumah.

#4.Rancang kerja harian

Dengan ketiadaan majikan, pengurus atau rakan sekerja di sekeliling kita, menjadi cabaran untuk kekal sedar tentang senarai kerja yang perlu diselesaikan dalam satu-satu masa. Oleh itu, senaraikan terlebih dahulu tugasan harian pada setiap pagi.

Boleh juga gunakan aplikasi “to-do-list” yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit.

Pastikan juga kalendar sentiasa ada agar mudah merujuk tarikh-tarikh penting yang berkaitan dengan tugasan.

#5.Bersiap sedia seperti pergi ke pejabat

Apabila bekerja dari rumah, janganlah pula diambil ringan tentang penampilan diri dan persediaan peribadi. Walaupun bekerja dari rumah, elakkan dari memakai baju tidur atau pakaian rumah sahaja.

Bagi mengekalkan mood yang positif dan minda yang aktif, bersiap-siaplah seakan mahu pergi ke pejabat. Mandi awal, siap-siapkan diri, sisirkan rambut dan oleskan bedak seperti biasa. Pakailah baju yang selesa dan kasual. Dengan amalan sebegini, minda dan emosi akan terpelihara seterusnya dapat mengekalkan produktiviti.

#6.Tetapkan waktu rehat

Kadangkala bekerja dari rumah boleh menyebabkan seseorang individu terlebih komited atau bekerja lebih lama dari biasa. Hal ini boleh menjejaskan tahap produktiviti.

Elakkan perkara seperti ini dengan menetapkan waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit dalam jadual waktu kerja.

Kajian membuktikan bahawa dengan berehat seketika dalam waktu kerja, dapat meningkatkan kreativiti dan produktiviti.

#7.Simpan alatan kerja setelah kerja selesai

Selepas habis waktu kerja, tutup komputer atau peranti elektronik yang digunakan, kemas meja kerja dan simpan alatan sepertimana amalan sebelum pulang jika bekerja di pejabat.

#8.Tetapkan ruang bebas tekanan

Dalam keadaan perlu bekerja dari rumah, dan pergerakan pula terbatas, seseorang individu perlukan satu ruang yang tenang dan mendamaikan untuk mengurangkan tekanan.

Ikut citarasa masing-masing. Ada yang cukup dengan menggunakan ruang sedia ada seperti ruang solat, ruang membaca, atau ruangan hobi untuk menghilangkan tekanan. Jika mahukan suasana baru, cari kawasan atau sudut yang sesuai untuk dijadikan ruang ini. Kemas dan buat susun atur yang menepati citarasa.

#9.Kurangkan gangguan peribadi

Adakalanya ahli keluarga atau rakan serumah mempunyai pandangan yang berbeza tentang bekerja di rumah. Kemungkinan mereka berpandangan masa kerja kita lebih fleksibel maka boleh membuat kerja-kerja rumah dan boleh sentiasa berhubung sambil bekerja.

Penting untuk memaklumkan kepada mereka tentang komitmen kerja kita walaupun dalam keadaan lokasi berubah. Terangkan dengan baik agar mereka faham bahawa kita tetap memerlukan privasi dan tumpuan kerja.

#10.Manfaatkan teknologi perhubungan

Bekerja dari rumah boleh mengundang kesunyian lebih-lebih lagi jika tinggal bersendirian. Manfaatkan teknologi komunikasi terkini yang pelbagai untuk kekal berhubung bersama rakan sekerja mahupun pelanggan.

Sebaiknya buat rancangan untuk bertemu secara tetap menggunakan aplikasi atas talian.

Selain berbincang hal kerja, boleh juga berkongsi berkenaan idea kreatif berhadapan kebiasaan baru.

#11.Jaga kesihatan

Walaupun masih sibuk bekerja, kesihatan mestilah sentiasa menjadi keutamaan. Amalkan cara hidup aktif dan pemakanan yang sihat walaupun perlu duduk di rumah.

Jadualkan waktu senaman. Aktiviti senaman akan mengeluarkan hormon endorfin yang membantu meningkatkan perasaan positif, kegembiraan dan produktiviti individu.

Pemakanan juga perlu dijaga. Sentiasa amalkan makanan yang seimbang dan sihat. Banyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan serta lebihkan minum air.

Walaupun tidak dapat bekerja dalam keadaan biasa, namun ingatlah bahawa situasi baru ini perlu dibuat untuk sama-sama membantu mengekang penularan wabak Covid-19. Bekerja di rumah, amalkan penjarakkan sosial dan kerap mencuci tangan. Kita mesti menang!

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini