7 Tips Persediaan Ramadan dalam Wabak Covid 19

Ramadan kali ini amat berbeza dari tahun-tahun sebelumya.

Ia disambut dengan keadaan dunia sedang berdepan dengan situasi sukar menangani Wabak Covid 19.

Negara kita tidak terkecuali dari melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Justeru, kita perlu menunaikan ibadah puasa dengan kebiasaan baru.

Kebiasaan baru untuk menjarakkan diri, tidak perlu bersalaman, tidak boleh berkumpul atau berbuka puasa bersama, tiada bazar Ramadan mahupun bufet Ramadan, tidak boleh menunaikan solat jemaah dan tarawih di masjid.

Kami kongsikan di sini 7 Tips Persediaan Ramadan dalam Wabak Covid 19

1. Mengemas rumah menyambut Ramadan

Menjadi rutin Ramadan sesetengah keluarga untuk mengemas rumah sebelum Ramadan. Contohnya menyapu sawang, mengelap kipas, tingkap, menyusun atur ruang, membasuh dan menukar langsir.

Selain menjadikan rumah kita bersih dan selesa, ia juga mengurangkan kerja-kerja pembersihan sewaktu Ramadan.

Galakkan anak-anak untuk melaksanakan tugasan ini bersama. Bagi anak-anak yang kecil boleh berikan tugasan mudah contohnya mengelap perabot. Mereka sudah tentu gembira dapat membantu  ibubapa. Aktiviti begini juga bagus untuk ransangan motor halus anak-anak.

2. Menghias rumah dan menyediakan ruang solat

Persekitaran luaran dan dalaman rumah yang bersih dan ceria sudah tentu dapat memberi suasana Ramadan yang lebih bermakna.

Tidak hairan jika ramai ibubapa berusaha menghias rumah untuk menyambut Ramadan. Lebih-lebih lagi apabila kita masih perlu kekal duduk di rumah.

Rancang dan pilih ruang yang sesuai untuk solat berjemaah dan tarawih bersama. Bukan semua rumah mempunyai bilik solat khusus, maka cari ruang yang sesuai. Memadai ruang yang dapat memuatkan semua ahli keluarga sewaktu solat berjemaah.

Libatkan anak-anak untuk menghias dan menyusun atur ruang ini. Sediakan sejadah yang mencukupi, tempatkan rehal serta Al Quran dan buku Iqra’ untuk anak-anak.

Boleh tampalkan poster yang bersesuaian atau carta ganjaran bagi memberi motivasi buat anak-anak yang mungkin pertama kali berpuasa.

3.Sediakan pakaian yang sesuai

Bagi kaum wanita pula, biasanya pada waktu ini telah menyediakan telekung yang bersih dan baru dibasuh untuk solat. Begitu juga untuk melatih anak kecil menunaikan solat, sediakan telekung mengikut saiz mereka. Ini dapat mendorong mereka lebih bersemangat, lebih-lebih lagi jika pertama kali diberikan telekung baharu.  Pasti mereka gembira.

Selain dari, itu sediakan sejadah yang menarik. Atau boleh beri peluang kepada anak memilih sejadah yang mereka suka.

Untuk kaum bapa dan anak lelaki, sediakan pakaian seperti jubah dan baju melayu. Tak perlu beli yang baru, cukup sekadar gunakan koleksi sedia ada. Dengan memakai jubah atau baju melayu dapat juga mereka merasa sepertimana kebiasaan pergi ke masjid.

Memakai wangian untuk kaum lelaki semasa solat juga adalah sebahagian sunnah. Sediakan untuk kaum lelaki wangian yang bersesuaian.

4.Membeli barang keperluan secara online atau menggunakan perkhidmatan penghantaran

Selain terus ke pasar atau kedai, ibubapa juga boleh mengunakan perkhidmatan penghantaran yang ditawarkan oleh pasar atau kedai berdekatan.

Ajak anak-anak membuat senarai keperluan barangan. Ini juga dapat membantu memperkenalkan barang keperluan dan juga barangan kehendak.

Buat belian awal untuk persediaan juadah bersahur dan berbuka seperti susu, bijirin atau roti. Belikan juga keperluan alat tulis dan kertas untuk aktiviti anak-anak dirumah sekiranya sudah kehabisan.

Barang-barang yang mencukupi dapat menenangkan ibu-ibu untuk memasak juadah dan tidak perlu keluar secara kerap pada waktu Covid ini. 

5.Rancang juadah bersahur dan berpuasa

Pada waktu PKP ini sudah diwartakan Bazar Ramadan tidak boleh beroperasi. Masa ini sudah tentu kaum ibu lebih bersemangat  mencuba resepi-resepi hidangan dan  kuih muih buat keluarga. Mungkin pada tahun-tahun sebelum ini kaum ibu yang bekerja, agak kesuntukan masa untuk menyediakan juadah, inilah masanya.

Libatkan anak-anak dalam penyediaan makanan kegemaran mereka. Contohnya membuat onde-onde, puding atau kuih sagu.

Ibu juga boleh bertanyakan kepada anak untuk menu bersahur yang mereka mahukan. Ini dapat membantu mereka bersemangat bangun awal pagi dan bersahur. 

Sediakan segelas susu kurma juga membantu untuk mengekalkan tenaga harian mereka. Hanya perlu mengisar kurma dan dimasukkan susu segar yang sedap.

Sekiranya bercadang untuk membeli dari individu yang membuat perkhidmatan penghantaran, pastikan individu atau kedai tersebut sememangnya pernah menjual di Bazar Ramadan sebelum ini. Selain daripada mendapat kualiti rasa yang sedap, biasanya mereka sudah mengambil suntikan Thypoid dan mengambil Sijil Penyediaan Makanan. Semak SOP dengan mereka, dan amalkan penjarakan social sewaktu menerima makanan.

6.Sediakan jadual giliran azan dan iqamah

Sudaht entu anak-anak akan gembira jika dapat melaungkan azan dan iqamah. Cara ini juga dapat menerapkan nilai kepimpinan buat anak-anak lelaki. Anak-anak ini akan berasa yakin dan bangga apabila diberi kepercayaan untuk sesuatu tugasan yang biasanya dilakukan oleh orang dewasa.

Jangan lupa puji mereka, jika ada kesalahan hanya perlu betulkan.

7.Sediakan aktiviti yang bersesuaian untuk anak-anak

Bagi mengelakkan anak merasa bosan semasa menunggu waktu berbuka. Isi masa anak-anak dengan aktiviti yang menarik dan berfaedah. Jesteru itu sediakan kelengkapan dan keperluan seperti kertas, alat tulis, buku tulis, buku cerita atau dapatkan sahaja Jurnal Ramadan yang ada terdapat dipasaran.

Disamping mengisi masa terluang dapatlah mereka ilmu baru yang mengurangkan tekanan mereka ekoran tidak boleh keluar dari rumah.

Melakukan aktiviti senaman mudah bersama-sama  keluarga di dalam rumah juga dapat membantu mengurangkan ketegangan emosi si anak. 

Dengan 7 tips mudah ini kita doakan Ramadan kali ini dapat kita lalui bersama dengan penuh bersemangat walaupun didalam suasana begini. Di bulan Ramadan yang mulia ini, sama-sama lah kita berdoa agar rantaian Covid 19 dapat diputuskan dan kita dapat kembali bekerja serta anak-anak dapat kembali ke sekolah.

Ambil peluang menyambut Ramadan kali ini sepenuhnya bersama keluarga dan anak-anak. Perbaiki amalan dan saling menasihati antara satu sama lain ke arah kebaikan. Insya Allah. 

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini