7 TIPS PUASA SIHAT UNTUK KANAK-KANAK

Gambar hiasan

Secara asasnya, kanak-kanak yang belum akil baligh tidak perlu berpuasa.

Namun, ramai ibu bapa memilih untuk melatih anak berpuasa dari kecil.

Pada usia mereka 7 tahun, ibu bapa sudah boleh memulakan
latihan berpuasa. Galakkan anak untuk berpuasa secara berperingkat. Mulakan
dengan beberapa jam sehari mengikut kemampuan mereka.

Tidak perlu paksa jika mereka tidak mampu.

Ibu bapa perlu memantau keadaan anak yang berpuasa supaya mereka tidak mengalami kepenatan melampau atau dehidrasi. Tambahan pula dalam keadaan cuaca di negara kita yang agak panas.

Kami kongsikan 7 tips puasa sihat untuk kanak-kanak

#1.Amalan makanan sihat

Pemilihan makanan amat penting. Ini bagi memastikan
anak-anak kekal mendapat nutrien yang diperlukan walaupun berpuasa. Ia juga
akan membantu mereka kekal bertenaga sepanjang tempoh berpuasa.

Cara terbaik ialah dengan memastikan anak kita mendapat
cukup makanan berasaskan karbohidrat, protein, serat dan air.

Karbohidrat adalah sumber utama tenaga yang diperlukan oleh tubuh. Makanan yang berasaskan karbohidrat seperti nasi, kentang, roti mil penuh dan oat memerlukan masa yang lama untuk dicerna dan membantu mengurangkan lapar.

Banyakkan pengambilan makanan yang mengandungi sumber
protein yang tinggi seperti telur, ayam, daging, susu dan keju dalam hidangan
utama.

Makanan tinggi serat seperti sayuran hijau dan buah-buahan juga penting. Pelbagaikan warna dalam hidangan anak kerana makanan berwarna mengandungi pelbagai vitamin dan mineral.

Foto hiasan. Kredit : Pexels.com

#2. Makan sahur

Pastikan anak-anak bersahur. Walaupun agak sukar untuk anak-anak bangun terlalu awal, maklumkan terlebih dahulu menu sahur agar mereka bersemangat untuk bangun.

Sediakan menu yang berkhasiat untuk membekalkan tenaga sepanjang hari berpuasa.

Cadangan menu sahur yang boleh disediakan untuk anak:

Makanan : Nasi bersama ayam/telur/sardin dan sayur campur, kurma, bijirin, oat, roti mil penuh, bubur ayam.

Minuman : Air kosong, susu, jus buah, minuman bermalta

Buah-buahan : Epal, pisang, tembikai

#3. Amalan sewaktu berbuka

Semasa berbuka puasa, galakkan anak makan makanan yang ringkas dahulu seperti kurma dan air kosong.  Ini bagi mengelak ketidakselesaan kepada perut. Kurma juga mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera serta enzim yang membantu proses penghadaman.

Kemudian, barulah berikan mereka makanan seperti nasi berlauk atau makanan berat lain.

Perlu ingatkan mereka agar makan dalam kadar sederhana. Makan secara berlebihan boleh menyebabkan perut kembung dan senak.

Pengambilan makanan yang pedas dan berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka. Dikhuatiri akan menyebabkan perut tidak selesa semasa siang hari.

Galakkan juga mereka mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup bagi mengelakkan dehidrasi. Elakkan minuman berkarbonat semasa berbuka kerana kandungan gulanya yang tinggi dan boleh menyebabkan ketidakselesaan perut.

Cadangan menu berbuka yang boleh disediakan untuk anak:

Makanan : Nasi bersama ikan/ayam dan sayur-sayuran, nasi kukus bersama ayam goreng bihun sup, mi goreng, laksa ,kuih-muih.

Minuman : Air kosong, jus buah.

Buah-buahan : Epal, tembikai, tembikai susu, mangga.

#4. Amalan sewaktu moreh (snek lewat malam)

Amalan moreh tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Ia juga dapat memberi keseronokan kepada anak-anak apabila ada hidangan disediakan selepas bersama-sama menunaikan solat terawih.

Sediakan makanan ringkas seperti kuih-muih tradisional, biskut ataupun pencuci mulut.

Pastikan mereka tidak makan dalam kuantiti yang banyak.

Cadangan menu moreh yang boleh disediakan untuk anak:

Makanan : Bubur lambuk, bubur kacang, kuih-muih tradisional seperti onde-onde, karipap, kuih lapis.

Minuman : Air kosong, jus buah.

#5. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam (masin).

Pada kebiasaannya makanan yang diproses seperti ikan masin, kicap, mi segera mempunyai kandungan garam yang tinggi. Makanan sebegini boleh menyebabkan rasa dahaga semasa berpuasa.

Sebaiknya elakkan dari menghidangkan makanan sebegini semasa bulan puasa.

#6.Elakkan kafein

Minuman berkafein seperti air teh dan air kopi boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

Elakkan makanan dan minuman berkafein agar anak kita kekal cergas dan bertenaga sepanjang berpuasa.

#7. Lewatkan sahur

Antara sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah di bulan Ramadan ialah melewatkan sahur dan awalkan berbuka.

Dengan melewatkan sahur, bekalan tenaga dapat bertahan lebih lama. Di samping itu, sudah tentu kita dapat melatih mereka untuk solat Subuh di awal waktu.

Di dalam proses melatih anak-anak berpuasa, kita perlu memastikan mereka mendapat keperluan makanan yang lengkap dan seimbang.

Mudah-mudahan dengan perancangan hidangan yang dibuat, anak-anak akan kekal sihat sepanjang berpuasa. 

Anak-anak yang sihat pasti dapat merasai kepuasan dan keseronakan berpuasa. InsyaAllah.

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini