9 TIPS MEMILIH TADIKA UNTUK ANAK TERSAYANG

Pasti ramai ibu bapa yang runsing memikirkan tadika yang mana sesuai untuk menghantar anak mereka, lebih-lebih lagi ibu bapa yang pertama kali mahu menghantar anak mereka.

Ini adalah sesuatu yang normal, apatah lagi pendidikan anak-anak merupakan aspek penting yang memerlukan perhatian ibu bapa.

Tambahan pula, pada zaman sekarang, kebanyakan ibu dan bapa khususnya di kawasan bandar, keluar untuk bekerja. Sudah tentu ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak tersayang.

Bagaimana ibu bapa mahu memastikan tadika yang dipilih adalah tadika yang terbaik dan sesuai untuk anak kita?

Di bawah ini kami kongsikan beberapa tips sebagai panduan kepada ibu bapa dalam memilih tadika.

 

  1. Kurikulum atau silabus yang diiktiraf

Ibu bapa boleh menyemak dengan pengusaha tadika berkenaan kurikulum dan program yang digunakan di tadika. Dapatkan penerangan yang jelas berkenaan perkara ini.

Ibu bapa boleh membuat perbandingan di antara beberapa tadika.

Tadika swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri perlu menggunakan Kurikulum Standard Pra Sekolah Kebangsaan.

Kurikulum ini digunapakai di semua prasekolah kerajaan, Tabika KEMAS dan tadika swasta yang berdaftar.

 

  1. Guru

Guru merupakan insan yang memainkan peranan yang sangat penting di tadika.

Guru berperanan sebagai contoh dan teladan dengan menunjukkan sikap yang baik dan terpuji untuk dicontohi oleh anak-anak.

Ibu bapa boleh bertanya dan mendapatkan maklumat dari pengusaha berkenaan latar belakang yang berkhidmat di tadika tersebut.

Kebiasaannya, pengusaha akan menghantar guru-guru mereka untuk latihan dan kursus yang berkaitan untuk menambah pengetahuan dan kemahiran guru selaras dengan keperluan semasa.

Guru-guru yang terlatih sudah tentu dapat mengendalikan anak-anak dengan berhikmah.

 

  1. Selidik latar belakang tadika

Pada zaman moden dan digital sekarang ini, segala bentuk maklumat boleh dicapai di hujung jari sahaja. Ibu bapa boleh menggunakan carian awal di atas talian terlebih dahulu.

Antara aplikasi yang boleh digunakan adalah seperti Google, Google Map, Facebook, Instagram atau Twitter. Buat carian menggunakan fungsi “search” di dalam laman-laman ini.

Hasil carian yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut membolehkan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat awal berkaitan tadika yang dikehendaki.

Ibu bapa juga boleh mendapatkan ulasan daripada ibu bapa sedia ada yang menghantar anak mereka ke tadika itu.

Tadika yang  mempunyai website, biasanya akan meletakkan lebih banyak maklumat untuk dilihat oleh ibu bapa termasuk pakej yang ditawarkan, gambar aktiviti anak-anak, malah ada yang boleh membuat pendaftaran terus melalui website mereka.

Selain dari itu, ibu bapa boleh bertanya penduduk berdekatan tentang tadika yang ada di kawasan mereka. Sedikit sebanyak pasti mereka mempunyai maklumat yang boleh membantu ibu bapa membuat keputusan.

 

  1. Lawatan ke premis

Selepas ibu bapa membuat penyelidikan awal, buatlah temujanji dengan pengusaha atau pemilik tadika untuk membuat lawatan ke tadika dan melihat sendiri fasiliti yang disediakan di premis tersebut.

a. Bangunan

Pastikan bangunan tadika itu bersesuaian.

Antara bangunan yang sesuai untuk tadika ialah rumah kediaman dan bangunan khas. Terdapat juga tadika yang beroperasi di rumah kedai.

Bagi bangunan rumah kedai, operator perlu mendapatkan kelulusan untuk memastikan bangunan itu sesuai untuk dijadikan tadika.

 

b. Ruang

Ruang yang disediakan mesti memenuhi keperluan asas seperti ruang belajar dan tandas.

Sesebuah tadika perlu mempunyai keluasan ruang yang mencukupi untuk anak-anak beraktiviti dan bermain.

Tandas yang disediakan juga perlu berasingan di antara kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Lantainya tidak licin, sentiasa bersih dan dilengkapi dengan sinki.

Sebaiknya ada  ruang yang membolehkan kanak-kanak bergerak secara bebas.

 

c. Peralatan

Peralatan yang disediakan dalam ruang pembelajaran seperti kerusi dan meja mestilah mempunyai saiz dan ketinggian yang sesuai dengan kanak-kanak.

Kedudukan peralatan yang tetap dan boleh diubah, boleh membantu perkembangan fizikal kanak-kanak.

 

  1. Keselamatan

Semasa membuat lawatan, ibu bapa boleh melihat juga aspek keselamatan di tadika tersebut. Antara yang perlu dilihat ialah :

  1. Sesebuah tadika hendaklah kawasan yang berpagar dan mempunyai sekurang-kurangnya dua pintu. Pintu pagar hendaklah sentiasa ditutup.
  2. Jika tadika yang mempunyai parit, parit itu perlulah ditutup.
  3. Kawasan tadika hendaklah sentiasa bersih, tidak semak dan rumput dipotong pendek.
  4. Jika tadika merupakan rumah dua tingkat atau daripada bangunan rumah kedai perlu mempunyai tangga keselamatan.
  5. Dilengkapi alat pemadam api.
  6. Menyediakan peti pertolongan cemas.
  7. Dilengkapi dengan papan tanda keselamatan di sekeliling tadika.
  8. Kawasan tadika adalah kawasan larangan merokok.
  9. Tiada objek yang tajam atau yang boleh membahayakan.
  10. Taman permainan yang tidak berisiko.
  11. Taman permainan yang diperbuat daripada bahan berkualiti, tidak berkarat dan membahayakan.
  12. Dilengkapi dengan nombor kecemasan.
  13. Dilengkapi dengan peta laluan kecemasan.
  14. CCTV merupakan satu kelebihan.

 

  1. Suasana

Persekitaran tadika yang baik dan selamat boleh menggalakkan pembelajaran kanak-kanak.

Suasana yang kondusif, selesa, selamat, warna yang tenang, menarik dapat memberi galakan atau stimulasi kepada kanak-kanak.

Ibu bapa boleh melihat aspek ini semasa membuat lawatan ke tadika tersebut.

 

  1. Yuran

Lihat yuran yang ditawarkan, adakah bersesuaian dengan tawaran nilai dan fasiliti yang disediakan.

Yuran tadika merupakan justifikasi tawaran nilai yang diberikan. Pertimbangkan bajet dengan rancangan ibu bapa. Apakah yang menjadi keutamaan?

Pada kebiasaannya yuran tadika terdiri daripada:

  • Yuran Tahunan
  • Yuran Pendaftaran
  • Yuran Buku dan Bahan Pembelajaran
  • Yuran Bulanan
  • Yuran Aktiviti
  • Yuran Makanan

Bayaran-bayaran lain yang akan dikenakan termasuk bayaran bagi belian baju seragam, bayaran perkhidmatan lebih masa dan pengangkutan.

 

  1. Waktu operasi

Waktu operasi setiap tadika, boleh jadi berbeza antara satu sama lain.

Ada tadika yang menawarkan khidmat separuh hari sahaja dengan waktu perkhidmatan antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Ada juga tadika yang menawarkan perkhidmatan sepanjang hari antara jam 8 pagi hingga 5 petang.

Secara kebiasaannya, keluarga yang mempunyai hanya salah seorang ibu atau bapa yang bekerja akan memilih perkhidmatan tadika separuh hari.  Manakala ibu bapa yang kedua-duanya bekerja selalunya memilih perkhidmatan tadika sepanjang hari.

Bagi perkhidmatan tadika sepanjang hari, anak-anak akan diberi masa untuk berehat selepas tamat sesi pagi.

Selepas berehat tadika akan menyediakan aktiviti tambahan seperti aktiviti kraf, bercerita, masakan, sukan dan banyak lagi yang bersesuaian.

 

  1. Lokasi

Ibu bapa boleh memilih lokasi tadika yang berhampiran dengan rumah atau kawasan kediaman ibu bapa.

Sebaiknya lokasi yang berada dalam perjalanan ibu bapa ke tempat kerja.

Ini boleh membantu memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak dan juga menjimatkan kos pengangkutan.

Jika ibu bapa masih mahu memilih lokasi yang agak jauh dari rumah, pastikan pengangkutan untuk anak pergi dan balik tadika diuruskan.

 

KESIMPULAN:

Sebagai rangkuman kepada semua aspek yang telah dikongsikan, kami mencadangkan agar ibu bapa dapat membuat pertimbangan secara menyeluruh sebelum membuat keputusan untuk mendaftarkan anak ke tadika.

Mudah-mudahan maklumat yang kami kongsikan ini memberi manfaat dan kebaikan buat ibu bapa, juga anak-anak.

 

 

 

 

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini