Kisah Firdaus dan Luqman

Saya mempunyai dua orang pelajar bernama Firdaus dan Luqman yang amat lemah membaca Al-Quran dan Jawi. Setiap kali subjek Al-Quran, saya akan meminta mereka membuka Buku Iqra’. Mereka juga merangkak-rangkak membaca Jawi. Jika membaca sudah lemah, sudah tentu menulis dan menjawikan tulisan rumi jauh sekali. Dalam keadaan begini, sudah tentu memenangi kuiz bagi dua subjek yang memerlukan kemahiran-kemahiran tersebut adalah mustahil. Anehnya, mereka dapat menjawab semua soalan dan menghantar jawapan paling awal. Malah, mereka dapat menjawab satu soalan yang tidak dapat dijawab oleh semua murid lain.

Sebenarnya, saya amat mengagumi semangat mereka untuk menguasai pelajaran. Mereka rajin bertanya meskipun amat lambat untuk faham. Kerap terlihat Luqman mengerut dahi dan tergaru-garu kepala. Selalu juga diejek-ejek rakan sebagai lembap kerana perlu diberi penerangan banyak kali. Ketika itu, Firdaus cepat-cepat menarik tangan Luqman dan berkata, “Takpe..biar aku ajar engkau”. Firdaus dan Luqman memang bersahabat baik.

Saya percaya, teknik-teknik Gaya Nabi Muhammad yang saya praktikkan sebelum ini banyak memberi kesan kepada perkembangan potensi mereka. Paling menonjol adalah lonjakan self-esteem (keyakinan diri). Mereka tidak rasa bahawa diri mereka corot dan bertindak seperti murid pintar dan hebat.

Kebiasaannya, bagi murid yang lemah membaca, mereka malu untuk cuba membaca di hadapan rakan-rakan. Berbeza dengan Luqman, dia selalu secara sukarela mengangkat tangan untuk membaca teks walhal pembacaannya masih merangkak-rangkak dan selalu salah menyebut perkataan. Sudahlah merangkak-rangkak, diejek pula, tetapi Luqman masih tidak serik-serik mahu memperdengarkan bacaannya.

Firdaus pula rajin menunjukkan hasil tugasan kepada saya. Apabila menulis nota, ditunjuki notanya yang penuh lukisan kartun. Tulisan tidak cantik tetapi tidak segan ditunjukkan kepada saya. Apabila diberi latihan, selalu sahaja jawapannya salah tetapi tidak serik-serik ditunjuki jawapannya kepada saya. Seolah-olah dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Untuk memudahkan pembaca, saya ingin berkongsi teknik dan contoh ucapan yang saya aplikasikan kepada mereka secara satu persatu. Bagaimanapun, saya kembalikan kepada Allah setiap ketentuan dan kemudahan yang diperoleh.

bersambung…

Penulis :  Nurhidayah Jaafar

Sumber : http://ustazah-engineer.blogspot.com/

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini