Setiap Anak Cabarannya Berbeza

 

“Wah! tentu anak-anak Min pun bijak kan? Senang, boleh ajar sendiri.”
“Awak lain lah. Anak boleh hantar ke sekolah sendiri.”
Tersebut adalah antara beberapa komen biasa yang diberikan oleh rakan saya. Maklumlah, semua beranggapan yang saya pasti boleh mengajar anak sendiri sebagaimana saya boleh mengajar anak orang lain.
Baiklah. Mari saya kongsikan hakikat sebenar, cabaran seorang yang bergelar ibu apabila mengajar anak sendiri, terutamanya di dalam kelas atau di sekolahnya.

 

1. Apabila anda sendiri di dalam sekolah

Ramai guru yang mempunyai anak di sekolah atau di dalam kelasnya, akan cuba sedaya upaya untuk tidak menunjukkan perbezaan layanan yang ketara. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu murid lain tahu bahawa anak beliau berada di dalam kelas tersebut.

Keadaan ini tanpa sedar menjadikan ibu itu melayan anaknya sendiri lebih kasar dan adakalanya melampau.

 

2. Ibu boleh, anak belum tentu.

Kebolehan setiap anak adalah berbeza. Kebolehan tidak boleh diwarisi. Ia boleh dipelajari. Jika seorang ibu mahir dalam berbahasa Inggeris, masih belum tentu anak beliau dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik.

Pada kebanyakan masa, kemahiran ibu akan mempengaruhi perkembangan anak. Seorang ibu yang boleh berbahasa Inggeris, biasanya akan bercakap dalam bahasa itu apabila bertutur bersama anaknya. Namun, ia bergantung juga tentang bagaimana kerap anak itu terdedah dengan suasana yang membolehkannya mempelajari kemahiran tersebut dari ibunya.

Bagi sesetengah ibu, mereka mempunyai prinsip sendiri dalam usaha mendidik anak. Saya pula, hanya akan bertutur dalam bahasa Inggeris bersama suami saya. Manakala, bersama anak-anak saya akan berbahasa Melayu. Suami saya akan bercakap dalam bahasa Inggeris apabila bersama anak-anak. Tetapi, ia hanya pada masa tertentu, bukan sepanjang masa.

Cara serta prinsip pendidikan yang berbeza di kalangan ibu bapa juga memberikan kesan kepada perkembangan anak.

 

3. Perkembangan anak melibatkan banyak faktor.

a) Dinamik dan perubahan semasa pada keadaan keluarga dan ibu semasa dalam tempoh perkembangan awal anak amat mempengaruhi perkembangan anak.

b) Keadaan sosio ekonomi sesebuah keluarga juga banyak mempengaruhi perkembangan anak-anak. Ia banyak bersangkutan dengan pengaruh emosi ibu, bapa dan ahli kelurga. Secara tidak langsung, status ekonomi juga memberi kesan kepada nutrisi pemakanan anak.

Tidak semestinya ibu bapa dan keluarga yang mampu dapat memberikan yang terbaik pada anak mereka. Ada juga keluarga yang bertaraf ekonomi tinggi, tetapi tidak peka kepada keperluan perkembangan anak yang seimbang dari segi pemakanan dan keperluan jiwa.

c) Ramai yang tidak sedar bahawa emosi dan status keluarga semasa ibu mengandungkan anak memberi pengaruh yang amat besar kepada perkembangan anak-anak.

Sebagai contoh, anak saya yang pertama mengalami sedikit masalah semasa proses kelahirannya. Waktu itu, saya yang mengandungkan anak buat pertama kali banyak memendam rasa dan sering menangis. Saya pula, sering memujuk diri dengan mengambil makanan ringan.

d) Proses kelahiran anak yang di lalui juga memberikan kesan kepada perkembangan anak-anak.

Pengalaman saya semasa hampir waktu melahirkan, air ketuban sudah kering dan doktor memarahi saya kerana lewat ke hospital.

Akibat sakit yang saya tidak tahan, saya tidak makan seharian dan menyebabkan saya sangat lemah dan tidak dapat meneran bayi dengan baik semasa proses melahirkan. Doktor terpaksa membantu dan bayi perempuan pertama yang saya lahirkan terpaksa malalui proses vakum. Saya tidak pasti sama ada bayi saya mengalami situasi kekurangan oksigen atau tidak. Saya pula amat lemah dan tidak sedarkan diri agak lama selepas melahirkan.

Anak saya yang pertama amat sukar untuk dijaga. Tangisannya berpanjangan. Dalam tempoh berpantang, bayi saya demam ‘ayu’ (chicken pox). Saya juga mengalami demam itu selepas bayi saya. Saya tidak pasti sejauh mana perkembangan anak saya terganggu akibat demam itu.

Pengetahuan dan maklumat tentang sejarah perubatan anak adalah penting bagi ibu bapa untuk memahami perbezaan dalam perkembangan anak-anak.

 

4. Cara kita sebagai ibu bapa membantu anak, mesti jujur dan ikhlas.

Apabila menjangkau usia 5 tahun, saya dapati anak saya mengambil masa untuk memahami konsep baru dan sedikit sebanyak menunjukkan ciri-ciri anak disleksia.

Saya tidak lupa memberitahu guru yang mengajar anak saya tentang keadaan dan kelemahannya. Saya jauh lebih faham akan kelemahan anak saya. Saya tidak menyembunyikan kelemahannya, malah meminta guru itu untuk mencuba beberapa cara yang saya lakukan di rumah. Pada masa yang sama meminta agar guru berkenaan memberikan masa dan tidak perlu bimbang.

Saya berikan keyakinan pada guru tersebut. Saya mahu beliau percaya bahawa beliau akan pasti boleh mengajar anak saya, meskipun ia mengambil masa. Syaratnya, hanya perlu bersabar dan berikan lebih masa padanya. Jika murid lain 5 minit, anak saya perlukan 10 minit.

Saya juga jelaskan bahawa, saya tidak akan sesekali menyalahkan mana-mana guru atas perkembangan anak saya yang agak lambat. Ini kerana saya amat yakin, para guru pasti akan mengajar semua murid dan mahukan semua berjaya.

 

5. Ego diketepikan, anak tidak bijak secara akademik bukan bermaksud ibu bapa gagal.

Agak tertekan juga apabila melihat anak orang lain jauh lebih pandai dari anak sendiri. Namun, ego diri itulah yang harus dikawal terlebih dahulu. Ini amat penting untuk memastikan kita tidak menganiaya anak sendiri tanpa sedar. Hakikat perkembangan, pencapaian dan kebolehan anak yang berbeza perlu diterima. Hakikat pandangan masyarakat yang berbeza juga perlu dirai. Walau apa pun jua, yakinlah bahawa Allah lebih mengetahui. Setelah usaha itu di buat, maka bertawakkallah pada Allah. Insyaallah.

 

Penulis : Noraminah Omar

Sumber : www.noraminahomar.com

Artikel Seterusnya →

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini