Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad (sambungan Kisah Firdaus dan Luqman)

1. Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad
 
Saya tidak terlepas memberi pujian kepada Luqman setiap kali dia selesai membaca dan menghafaz al-Quran. Saya berikan pujian tersebut secara terbuka di hadapan murid-murid lain. Saya cuba tidak menegur murid yang mengejeknya sebaliknya saya memuji Luqman yang telah berjaya menamatkan bacaan. Lama kelamaan rakan murid berhenti mengejeknya kerana perasan sikap mereka tidak dipedulikan. Hanya perkara baik sahaja yang akan mendapat ganjaran istimewa.

 “Ustazah kagum melihat usaha Luqman untuk membaca. Walaupun dia membaca merangkak-rangkak tetapi Luqman habiskan juga hingga ayat terakhir. Kalau Luqman terus menerus membaca tanpa pedulikan apa kawan-kawan kata, ustazah yakin mesti Luqman akan mahir membaca dengan cepat.”

Kadangkala saya menukar ayat memuji.

“Wah, Luqman sudah dapat membaca lebih baik daripada semalam. Dulu langsung tidak boleh, sekarang sudah boleh sebut perkataan dengan betul. Ustazah mahu dengar lagi nanti, mesti bacaan Luqman akan lebih bagus dari hari ini sebab Luqman berusaha membaca.”

Begitulah, setiap hari saya akan mencari kebaikan pada setiap tindakannya dan memuji. Paling malas, saya akan tinggalkan juga pujian sebagai “Bagus Luqman!”. Namun begitu, “Bagus Luqman!” bukan bentuk pujian gaya Nabi. Pujian yang sebenar adalah puji kebaikan dan nyatakan impak kebaikan itu seperti ayat di atas tadi .(Nabi memuji hasil kerja)
 
2. Teknik Memberi Gelaran
 
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” – Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim
 
Saya telah mengaplikasikan Teknik Memberi Gelaran sebagaimana Rasulullah memberi gelaran ‘pembela’ baginda kepada Zubair. Saya melantik ramai murid menjadi Guru Penolong antaranya Luqman sebagai Guru Penolong Ucapan dan Firdaus sebagai Guru Penolong Akhlak. Guru Penolong Ucapan dan Guru Penolong Akhlak adalah jawatan paling kerap berperanan dalam kelas.
 
 
Sebagai Guru Penolong Ucapan, Luqman akan sentiasa bersedia untuk mengetuai ucapan “Assalamualaikum Ustazah”, “Terima Kasih”, “Selamat…..”. Setiap hari, entah berapa kali dia memimpin rakan-rakannya memberi ucapan kepada guru.
 
 
Oleh itu, saya menjangkakan jawatan ini telah menaikkan keyakinan diri Luqman dan melatih sifat berani dalam dirinya. Sebab itu, Luqman tidak malu membaca teks dalam buku walaupun merangkak-rangkak dan salah, dia sudah biasa mengeluarkan suara dalam kelas.
 
 
Manakala Firdaus pula memiliki konsentrasi yang amat tinggi semasa saya memberi penerangan. Dulu, Firdaus paling suka bercakap-cakap dengan rakan sebelah apabila saya bercakap di hadapan. Apabila diberi kerja, dia keluarkan macam-macam alat permainan di atas mejanya. Saya kenal dengan set permainannya, antaranya kertas yang dikoyak dari buku latihan dan dibuat bentuk gol, bola dan pemain-pemain. Kali ini, amat jarang saya melihat sikap Firdaus itu. Sikapnya sekarang seiring dengan gelarannya sebagai Guru Penolong Akhlak.
 
3. Teknik Tidak Menegur Kesilapan
(aplikasi hadith ekor kuda di sini)
 
Firdaus dan Luqman suka belajar Tajwid walaupun mereka belum sampai peringkat al-Quran. Satu hari, semasa subjek Tajwid , saya meminta murid mencari contoh hukum tajwid Mad ‘Arid lilsukun. Firdaus datang menunjukkan jawapannya kepada saya tetapi jawapan yang diberi ialah contoh hukum Mad Wajib Mutasil. Jawapan itu salah dan tidak memenuhi kehendak soalan. Namun begitu, saya tidak katakan kepada Firdaus, “Jawapan kamu salah!”
Sebaliknya saya katakan begini.

“Jawapan kamu betul!. Jawapan itu betul untuk hukum Mad Wajib Mutasil. Untuk mencari hukum Mad ‘Arid Lilsukun pula, caranya begini……”.

“Oh, saya hendak padamlah buat yang baru ustazah”, Firdaus berminat mahu membetulkan jawapan.

“Kamu tidak perlu padam jawapan itu. Kamu sambung latihan dengan mencari jawapan Mad ‘Arid lilsukun pula. Dengan cara itu kamu melakukan kerja lebih banyak dari rakan-rakan yang lain. Kamu mencari dua hukum tajwid sedangkan rakan kamu hanya mencari satu hukum sahaja.”

Firdaus kembali ke tempat duduknya dengan senyuman yang berbunga-bunga. Sebab itu, dia tidak serik-serik tunjukkan kerjanya. Dia fikir kerjanya betul sahaja dan gurunya sentiasa kata bahawa dia buat perkara yang betul.
 
 
Untuk maklumat tambahan bersama hadith berkaitan boleh baca di link di bawah

 

 
Penulis : Nurhidayah Jaafar
Sumber : http://ustazah-engineer.blogspot.com/
← Artikel Sebelum Ini
Artikel Seterusnya →

ABS Edu Solutions Sdn Bhd (730776-D)
Sebuah anak syarikat ABS Education Sdn Bhd
Satu inisiatif

×
error

Kongsi Artikel Ini